Wednesday, 19 August 2009

Rakyat Malaysia belanja RM15j sehari untuk rokok

WALAUPUN penggunaan tembakau di negara maju sudah berkurangan, keadaan
sebaliknya berlaku di negara membangun. Contoh di Malaysia apabila statistik
menunjukkan ketagihan merokok di kalangan rakyatnya yang berumur 15 tahun
dan ke atas terus meningkat daripada 21 peratus pada 1985 kepada 31 peratus
pada 2000.

Persatuan Perubatan Malaysia bertajuk “Action on Smoking and Health”
melaporkan terdapat kira-kira 3.5 juta perokok di negara ini. Separuh
daripada mereka menghisap rokok hampir 10 batang sehari.

Laporan itu juga menganggarkan bahawa rakyat Malaysia membelanjakan RM15
juta sehari untuk rokok dan dalam masa setahun, mencecah sehingga RM6
bilion.

Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri,
malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit
serius yang menular di seluruh dunia.

Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah
pernafasan. Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan
merokok dan penagihan tembakau yang lain bertanggungjawab terhadap satu
kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia - kira-kira 5 juta
kematian setahun.

Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok individu, tabiat merokok juga
boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang. Antara contoh yang
perlu diberi perhatian adalah seperti di bawah:

Satu kajian yang dijalankan di kalangan 5,000 lelaki Cina menunjukkan bahawa
60 peratus daripada mereka yang merokok lebih daripada sekotak sehari
berkemungkinan mengalami disfungsi ereksi atau ‘mati pucuk’ berbanding
mereka yang tidak pernah merokok.

Wanita yang merokok lebih berkemungkinan mengalami kesukaran untuk
mengandung, komplikasi ketika hamil dan risiko keguguran yang lebih tinggi.

Satu kajian dijalankan di Pusat Biologi Perinatal di California menemui
bukti bahawa wanita yang terus merokok ketika hamil memberi kesan negatif
pada jantung janin.

Menurut kajian yang dijalankan di Finland mendapati asap daripada rokok
boleh merosakkan fungsi arteri kanak-kanak. Laporan itu diterbitkan dalam
jurnal Persatuan Jantung Amerika, Circulation, membabitkan 400 kanak-kanak
berusia lapan hingga 11 tahun. Selain itu, asap daripada rokok juga
menyebabkan masalah jangkitan saluran pernafasan dan masalah telinga.
Serangan penyakit itu lebih teruk dan kerap di kalangan kanak-kanak yang
menghidap asma.

Semua ini menunjukkan kesan rokok bukan terbatas kepada generasi semasa,
tetapi harus ditanggung oleh generasi yang akan datang. Malah, WHO
menganggarkan bahawa ketagihan tembakau akan membunuh kira-kira 10 juta
orang setahun menjelang 2020, dengan 70 peratus kematian berlaku di negara
membangun.

Sungguhpun pelbagai usaha dilakukan di seluruh negara oleh kerajaan dan
pakar penjagaan kesihatan profesional, ketagihan tembakau (sebahagian
besarnya dalam bentuk rokok) di negara ini tetap pada angka yang
membimbangkan.

Memang tidak dapat dinafikan amat sukar bagi kebanyakan orang untuk berhenti
merokok kerana ia bukan ketagihan fizikal semata-mata. Walaupun nikotin
adalah punca utama ketagihan rokok, tabiat menghisap rokok juga satu ritual
atau amalan psikologi dan emosi bagi kebanyakan perokok.

Namun, ada cara yang berkesan untuk membantu perokok menghentikan tabiat
merokok. Ia dengan menggabungkan rawatan seperti terapi penggantian nikotin
(NRT)dan perubahan gaya hidup. Apa yang utama kesungguhan dan keazaman untuk
berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenai usaha menghentikan tabiat
merokok, sila ke laman web www.iwanttoquitsmoking.com.my

No comments:

Post a Comment